Bicara tentang kewangan, kita akan sentiasa kaitkan dengan wang dan rezeki. Minda kita mengaitkan manfaat material seperti duit, makanan, minuman, kereta, rumah dan pelbagai benda lain adalah rezeki.
Ada benda yang kita selalu lupa tentang rezeki, kesihatan yang baik yang membolehkan kita bekerja dan menikmati makanan juga rezeki. Kupayaan untuk kita bekerja untuk mendapatkan duit juga rezeki. Malah kemahuan untuk belajar tentang kewangan agar kita boleh menabung untuk memiliki sebarang impian di dunia ini juga satu rezeki.
Secara asasnya, setiap tingkah laku, sikap, idea yang kita mampu bertindak hari ini adalah satu rezeki. Dengannya kita dapat bina kehidupan yang lebih baik. Dengan rezeki ini, kita boleh berikhtiar untuk berjaya, menjadi kaya dan apa saja impian yang ingin diburu.
Diri sendiri sebelum ini mempunyai tanggapan yang salah tentang rezeki dan wang. Kerja kuat semata-mata mencari wang, bersungguh-sungguh tak tentu pasal sehingga ada ketika alpa siapa yang Maha Kaya Pemberi Rezeki.
Jadi sebagai seorang Muslim, dalam mencari kekayaan dan kebebasan kewangan, lebih indah dan barakah bila kita berpandukan kepada konsep perancangan kewangan dalam Islam.
Kehidupan di dunia ini ibarat musafir, namun ada bahagiannya untuk kita usaha sebagai bekalan untuk dibawa ke alam seterusnya.
Tidak salah menjadi kaya, jadi seorang yang bukan saja kaya dengan harta, namun kaya dengan jiwa agar boleh membantu lebih ramai Muslim dan boleh menarik lebih ramai bukan islam agar mencintai Islam.
No comments:
Post a Comment